Contoh esei kepentingan kegiatan kokurikulum

KEPENTINGAN KEGIATAN KOKURIKULUM DALAM KALANGAN REMAJA.

Marilah kita bersukan,
Beruniform berpersatuan,
Suburkan rasa kecintaan,
Capai visi dan wawasan.

Rangkap lagu tema kokurikulum diatas menjurus kepada seruan agar semua murid dan pelajar khususnya yang berada di alma mater untuk melibatkan diri alam kegiatan kokurikulum. Apakah yang dimaksudkan dengan kegiatan kokurikulum? Bertepatan dengan peribahasa Melayu, tak kenal maka tak cinta, moleklah kiranya kita menelusuri terlebih dahulu definisi kegiatan kokurikulum secara literal. Kegiatan kokurikulum dapat ditakrifkan sebagai kegiatan aktiviti luar bilik darjah yang disertai oleh para pelajar untuk melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran. Jika kurikulum bermalamat untuk membangunkan ummah berminda kelas pertama, kokurikulum pula dapat dikategorikan sebagai pelengkap keperibadian dan kewibawaan pelajar. Kegiatan kokuriklum ini dapat dikelaskan kepada kepada tiga bahagian, iaitu badan beruniform, kelab dan persatuan, serta sukan dan permainan. Kendatipun begitu, semangat terhadap kegiatan kokurikulum dilihat semakin sirna dalam kalangan remaja pada hari ini. Berbekalkan alasan ingin fokus terhadap pembelajaran akademik, majoriti remaja mula memandang enteng terhadap kegiatan kokurikulum sedagkan pencapaian kokurikulum dinilai dengan serius sebagai syarat kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi(IPT). Persoalannya, apakah kepentingan kegiatan kokurikulum dalam kalangan remaja? Ayuh kita capahkan lensa perbincangan bagi polemik ini untuk mengkaji dan membugar kepentingan kokurikulum seacra mendalam dan terperinci.

Sebagai mukadimah atau pembuka tirai perbincangan, kepentingan kegiatan kokurikulum terhadap remaja yang perdana tentulah dapat menanam sikap berdisiplin dalam kalangan remaja. Hal ini demikian kerana, ghalibnya remaja yang menyertai kegaiatan kokurikulum akan diasuh untuk menepati masa, berpakaian kemas, dan menurut arahan. Sebagai analoginya, remaja yang terlibat dalam kegiatan kawad bagi badan beruniform seperti Pengakap atau Pandu Puteri perlu sentiasa fokus dan patuh akan arahan komandernya. Perkara ini sangat signifikan bagi memastikan aktiviti kawad tersebut berjalan dengan lancar dan seragam. Sementelahan pula,disiplin merupakan cerucuk fundemental dalam pembinaan modal insan yang cemerlang dan terbilang, Rentetan itu, melalui aktiviti kawad ini, lama-kelamaan sifat berdisiplin akan tertanam dengan sebati dalam atma dan sanubari remaja. Hal ini menjadikan  perjalanan mereka menuju falah akan lebih mudah dek sifat mahmudah yang terdapat dalam diri tersebut. Sifat ini seyogia dipupuk dan disemai sejak remaja berumur setahun jagung dan darah setampuk pinang iaitu ketika mereka masih di bangku sekolah kerana hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Justifikasinya, jelaslah bahawa kegiatan kokurikulum dapat menanam sifat berdisiplin dalam diri remaja dan membentuk jati diri yang unggul.

Bertitik tolak daripada manifestasi tersebut, kepentingan kegiatan kokurikulum kepada remaja yang seterusnya ialah remaja dapat menguasai ilmu dan kemahiran kepimpinan secara holistik. Hal ini dikatakan demikian kerana, remaja yang terlibat dalam kegiatan kokurikulum akan berpeluang untuk mengemudikan sesuatu aktiviti. Sebagai tamsilannya ialah aktiviti kawad kaki dan aktiviti perkhemahan memerlukan seorang ketua yang berintegriti untuk memimpin ahli-ahli yang lainnya. Dalam konteks ini remaja dapat, mendalami kemahiran memimpin kerana para remaja inilah merupakan pelapis yang akan mendominasi tampuk pemerintahan pada masa akan datang, sesuai dengan ungkapan cendekiawan bahawa pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Imam al-Gahazali juga pernah berpesan, katanya jika mahu melihat negara pada masa hadapan, lihatlah remajanya pada hari ini. Jika negara kita dihiasi dengan barisan remaja yang berketerampilan dan berwawasan, nescaya nusa Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara gergasi atas angin yang lain.Izharnya, kegiatan kokurikulum dapat melahirkan remaja yang berjiwa pemimpin untuk menerajui watan pada suatu hari nanti.

Melihat daripada persektif yang lain, kegiatan kokurikulum juga dapat melahirkan remaja yang sihat tubuh badannya, cerdas mindamya. Hal ini demikian kerana, kegiatan kokurikulum khususnya dalam bidang sukan permainan mendorong pelajar untuk bergerak aktif. Sebagai misalnya, melalui permainan bola keranjang , bola sepak dan hoki yang disertai oleh remaja, remaja akan mengeluarkan peluh di mana bahan toksin akan dikeluarkan dariapada tubuh badan. Bertitik tolak daripada itu, remaja akan menjadi sihat sekali gus dapat menurangkan perbelanjaan kesihatan bagi seseorang remaja. Menurut rekod, pada tahun 2009 sahaja, kerajaan telah memperuntukkan RM 13.8 billion untuk membaiyai kos peralatan dan keperluan kesihatan rakyat. Cuba bayangkan berapa banyak pula kos yang perlu dikeluarkan oleh kerajaan pada tahun ini? Senario ini tidak wajar berlaku kerana tanggungjawab menjaga kesihatan diri terletak di atas bahu kita sendiri. Sudah terang lagikan bersuluh, kegiatan kokurikulum dapat melahirkan remaja yang sihat badannya dan tajam akalnya kerana badan sihat, otak cerdas.

Kepentingan kegiatan kokurikulum yang terakhir namun tidak kurang signifikannya ialah remaja dapat mengisi masa dengan kegiatan berfaedah. Hal ini demikian kerana, melalui kegiatan kokurikulum, para remaja dapat melakukan variasi aktiviti yang mendatangkan maslahat seperti berkawad,berdebat dan aktiviti-aktiviti yang lainnya. Sementelahan pula, menurut penggiat sosial tanah air, Tan Sri Lee Lam Thye, 40 peratus daripada pelajar pada hari ini terlibat dengan pelbagai masalah sosial seperti merompak,merogol, dan masalah-masalah sosial yang lain. Kenyataan ini pastinya menimbulkan kegusaran banyak pihak khususnya keluarga dan ibu bapa. Oleh hal yang demikian, bagi mengelakkan remaja berkongkalikung dengan aktiviti kebejatan moral sedemikian, adalah lebih baik untuk para remaja mengisi masa dengan menyertai kegiatan kokurikulum yang bukan sahaja bermanfaat, bahkan sangat menyeronokkan. Perkara ini dapat dikaitkan dengan pepatah Arab yang berbunyi, masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak memenggalnya, maka pedang itu yang akan memenggalmu bagi menggambarkan keburukan sekiranya masa tidak dimanfaatkan dengan sistematik. Jelaslah, kegiatan kokurikulum dapat mengisi masa pelajar dengan aktiviti yang bermanfaat kerana sesungguhnya, masa itu emas.

Akhirulkalam, semua pihak seyogia sedar dan cakna akan kepentingan kegiatan kkurikulum kepada remaja. Kegiatan kokurikulum dapat melahirkan individu yang seimbang dari segi jasmani,emosi,rohani,intelek dan sosial(JERIS). Menurut tokoh falsafah yunani iaitu Aristotle, kejayaan sesuatu negara itu dapat dilihat melalui rakyatnya yang berfikiran positif dan dinamik. Jika ciri-ciri tersebut dapat dicapai melalui penglibatan dalam kegiatan kokurikulum, mengapa perlu kita menolaknya? Tepuk dada tanyalah selera. Sebelum saya meletakkan mata pena dan menulis noktah terakhir, seruan saya adalah supaya para remaja dapat merebut peluang selama berada di alam persekolahan untuk bergiat aktif dalam kegiatan kokurikulum. Ayuhlah kita menggembeleng tenaga ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dan usahlah bernafsi-nafsi bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing bagi sama-sama menjayakan inisiatif kerajaan ini ke arah melahirkan remaja yang berwawasan. Sekiranya seruan ini disahut, nescaya visi kudsi untuk mencapai Wawasan 2020 yang pernah digagaskan oleh wazir Malaysia dahulu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dapat menjadi realiti dan bukan lagi fantasi mahupun sekadar angan-angan Mat Jenin. Malaysia Boleh!

Contoh esei spm kepentingan kegiatan kokurikulum
Contoh karangan kepentingan kegiatan kokurikulum

*esei ini ditulis semasa penulis masih berada di alam persekolahan. Sebarang persamaan mohon dihalalkan. Jika isi yang disampaikan adalah tidak relevan lagi dek perrubahan masa, mohon dimaafkan. Semoga bermanfaat!

Comments

Popular posts from this blog

You are the best thing happened in my life. pt.1